Home Ekonomi Ada tangan ghaib sengaja rosakkan Serba Dinamik – Pengasas Malakat Mall

Ada tangan ghaib sengaja rosakkan Serba Dinamik – Pengasas Malakat Mall

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Pengasas Kumpulan Malakat Mall, Fadzil Hashim hari ini menegaskan terdapat tangan ghaib cuba merosakkan syarikat tersenarai awam (PLC) berstatus bumiputera yang berjaya.

“Semalam, banyak akaun-akaun palsu di Facebook telah memasukkan berita palsu dan negatif terhadap Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik),

“Kita lihat ada tangan tersembunyi yang berusaha untuk menjatuhkan Serba Dinamik mungkin kerana ianya merupakan satu syarikat PLC yang berjaya di Malaysia,” katanya

Beliau yang turut dikenali sebagai Coach Fadzil menambah, terdapat portal ekonomi dikesan menyerang Serba Dinamik setiap hari.

Saham Serba Dinamik mengalami kejatuhan sebanyak 80% dari harga RM1.615 (28 Mei) kepada RM0.325 pada hari ini.

“Kita mendapati satu portal ekonomi menyerang syarikat ini setiap hari dan mengulang berita berkali-kali semata-mata untuk memburukkan Serba Dinamik,

“Selain itu, kita dapati kewujudan profil bernama Uncle Tan yang baru didaftarkan telah menyiarkan penulisan berniat sangat jahat kepada Serba Dinamik,” jelas Fadzil.

Ujarnya, tindakan sebegini memberi kesan kepada pelabur, peruncit kecil dan pelabur institusi khususnya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjual pegangan saham mereka dalam Serba Dinamik.

Dalam sidang media yang sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menegaskan Serba Dinamik merupakan syarikat yang mempunyai kewangan yang kukuh.

“Serba Dinamik tidak mengalami kerugian tetapi sahamnya jatuh akibat persepsi negatif,” katanya.

Semalam, pihak Serba Dinamik telah membuat satu laporan polis berhubung penerbitan satu artikel berniat jahat di laman sesawang klse.3investor.com.

Timbalan Presiden Kanan (Keselamatan Siber) SDHB, Leftenan Kolonel (B) Datuk Dr Husin Jazri dalam laporan polis menegaskan artikel “Serba Dinamik – A Ponzi Scheme?” mengandungi tohmahan dan maklumat tidak benar mengenai terhadap Serba Dinamik. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply