Home Semasa 7 kematian akibat COVID-19 di PPR Desa Rejang

7 kematian akibat COVID-19 di PPR Desa Rejang

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=GPOcBRsvtL0[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Sebanyak 300 kes positif dan 7 kematian direkodkan membabitkan kes COVID-19 dilaporkan di kawasan Perumahan Awam Desa Rejang dalam tempoh singkat sejak 1 Jun lalu sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kawasan perumahan terbabit mempunyai 12 blok yang dihuni oleh kira-kira 12 ribu orang penduduk.

“Sehingga kini, keseluruhan kes positif adalah 300 orang dimana blok F dan L merekodkan jumlah tertinggi kes positif COVID-19 serta terdapat 7 kematian dilaporkan sejak 1 Jun yang lalu,

“Pelaksanaan PKPD di kawasan ini telah bermula pada malam tadi sehingga 1 Julai 2021 dan seramai 250 anggota dari pelbagai agensi akan terlibat dalam membantu bagi memastikan penguatkuasaan PKPD dapat dijalankan dengan baik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Perumahan Awam Desa Rejang, hari ini.

Pelaksanaan PKPD ini adalah bagi mengenalpasti penduduk yang positif COVID-19 untuk diambil tindakan dan dihantar ke pusat kuarantin – Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah. Foto: AirTimes

Beliau berkata, pihaknya turut akan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melaksanakan ujian saringan terhadap penduduk di kawasan terbabit terutamanya di Blok F dan L.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi mengenalpasti penduduk yang positif COVID-19 untuk diambil tindakan dan dihantar ke pusat kuarantin,

“Bagi Blok F dan L, pihak KKM akan mengambil tindakan untuk melaksanakan ujian saringan COVID-19 bagi keseluruhan penduduk di blok tersebut,

“Manakala bagi blok-blok lain, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan melakukan saringan kepada penduduk yang mempunyai gejala terutama mereka yang dalam golongan warga emas iaitu 10 peratus dari jumlah mereka,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Ashari harap penduduk di kawasan tersebut agar terus mematuhi Prosedur operasi standard (SOP) dan memberi kerjasama kepada pegawai kesihatan dalam menjalankan ujian saringan ini.

Jelasnya, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersedia untuk membantu mana-mana penduduk yang mempunyai masalah bekalan makanan.

“Untuk maklumat penduduk semua, ada peruntukan untuk mereka yang disediakan oleh pihak JKM sendiri. Agihan makanan ini akan diberikan secara berjadual,

“Mereka akan dimaklumkan melalui group whatsapp dimana setiap wakil daripada blok-blok itu telah dikenal pasti untuk memastikan agar maklumat disampaikan kepada penghuni blok tersebut,” ujarnya.

Berkaitan penugasan kawalan dan seliaan kawasan ini, Ashari menjelaskan hampir 100 anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bertugas bergilir-gilir sehari bagi memastikan SOP PKPD dipatuhi.

Pemasangan 300 kawat duri di kawasan seluas 1.2 ekar ini telah dilaksanakan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) bermula jam 9 malam tadi.

Seramai 13 pegawai dan 150 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) dan 91 Rejimen Bantuan Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 Rej Bantuan RAJD) telah diaturgerakkan bagi melaksanakan pemasangan kawat duri di perumahan ini. -airtimes.my

Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) telah melaksanakan pemasangan 300 gelung kawat duri di Perumahan Awam Desa Rejang pada malam tadi. Foto: AirTimes

Related Articles

Leave a Reply