Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Sidang Parlimen: PAS junjung tinggi, titah Agong selaras komitmen kerajaan

Sidang Parlimen: PAS junjung tinggi, titah Agong selaras komitmen kerajaan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 18 Jun – PAS menjunjung tinggi titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya menyakini bahawa titah pandangan baginda berkenaan sidang Parlimen adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengadakan sidang parlimen sebagaimana juga yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“PAS juga menjunjung tinggi titah pandangan Tuanku agar kerajaan segera mengadakan sidang Parlimen, mempercepatkan pemberian vaksin serta penting adanya kerajaan yang stabil dan kukuh berfungsi dengan efektif menangani COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara,

“PAS melihat perkara ini adalah selaras dengan usaha yang sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan ketika ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PAS turut menyanjung tinggi titah pandangan Yang di-Pertuan Agong yang menekankan supaya semua pihak mewujudkan suasana tenang dengan mengurangkan politiking.

“Titah Baginda ini supaya kerajaan dan semua pihak dapat memberikan fokus untuk menghadapi wabak ini serta menjaga kebajikan rakyat yang terkesan daripada wabak ini,” ujarnya.

Tuan Ibrahim berkata, PAS yakin dengan usaha dan komitmen Kerajaan Persekutuan yang telah berjaya memberikan suntikan vaksin COVID-19 secara konsisten melebihi 200,000 dos sehari.

“Ia sebagai kayu ukur dalam mencapai target 80 peratus rakyat divaksin sehingga hujung tahun ini,

“Selaras dengan strategi Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, PAS melihat perancangan kerajaan melalui empat fasa yang dikemukakan mampu menguruskan krisis kesihatan dan memulihkan ekonomi negara dengan baik,” ujarnya.

Tambahnya lagi, PAS turut menjunjung kasih ke hadapan Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu yang mengambil perhatian berat terhadap usaha menghadapi pandemik COVID-19 dan menjaga kebajikan rakyat.

“Tindakan yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong bertemu dengan pemimpin-pemimpin politik dan mendengar taklimat dari agensi-agensi kerajaan, menunjukkan bahawa Tuanku amat mengambil perhatian terhadap situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara.

“Ini turut membuktikan Institusi Raja-Raja Melayu jelas menjadi payung kepada seluruh rakyat tanpa mengira kepercayaan agama dan fahaman politik,” jelasnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply