Home SemasaGlobal Ditahan pihak Israel: Wisma Putra gesa Heliza Helmi, Iesya Toh bantu kesan ‘Dr Nur’

Ditahan pihak Israel: Wisma Putra gesa Heliza Helmi, Iesya Toh bantu kesan ‘Dr Nur’

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Wisma Putra menggesa mana-mana individu serta pemilik akaun Instagram (IG) @iesya_toh dan @nurhelizahelmi segera tampil dan mengemukakan maklumat berkenaan ‘Dr Nur’.

Ia susulan dakwaan mengenai perkongsian yang tular di media sosial berhubung penahanan seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai ‘Dr Nur’ oleh pihak Israel.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, mana-mana individu lain yang mempunyai maklumat sahih berhubung identiti serta keberadaan ‘Dr Nur’ turut digesa tampil dan mengemukakan maklumat terbabit melalui e-mel [email protected].

Menurutnya, kementerian gagal mengenal pasti butiran peribadi serta perincian insiden yang menimpa ‘Dr Nur’, sekali gus menyulitkan usaha Perwakilan Malaysia menghubungi dan menyalurkan bantuan konsular sewajarnya kepada beliau.

“Semakan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir dan Amman, Jordan juga mendapati tiada individu bernama ‘Dr Nur’ yang mendaftarkan keberadaan diri di Palestin atau menghubungi Perwakilan Malaysia untuk mendapatkan bantuan,

“Kementerian Luar Negeri sudah berhubung dengan pihak berkuasa di Malaysia untuk membantu mengenal pasti identiti dan keberadaan ‘Dr Nur’, selain mengumpul maklumat berkenaan laporan dikemukakan, termasuk tangkap skrin posting dibuat orang awam berhubung insiden menimpa ‘Dr Nur’,

“Maklumat berkenaan juga sudah dipanjangkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Menurut kenyataan itu, Wisma Putra juga telah cuba menghubungi 2 individu bernama Dr Aida dan Dr Shafiq, yang didakwa berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur, bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan ‘Dr Nur’ namun kedua-dua mereka gagal dihubungi.

“Kementerian Luar sentiasa prihatin dan mengutamakan keadaan serta kebajikan rakyat Malaysia di luar negara. Perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa bersedia untuk membantu sekiranya rakyat Malaysia di luar negara berada dalam kesulitan,” jelas Wisma Putra.

Kementerian Luar turut menyarankan rakyat Malaysia untuk sentiasa berhubung dengan Perwakilan Malaysia terdekat sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau memerlukan sebarang bantuan konsular.

Terdahulu, tular di media sosial mendakwa ‘Dr Nur’ dikatakan ditahan pihak Israel ketika memasuki sempadan kem bagi memberi rawatan perubatan kepada rakyat Palestin.

‘Dr Nur’ juga didakwa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, luka teruk di bahagian dada, patah tangan, selain ditembak di kaki kerana melawan tentera terbabit. -airtimes.my

Hantaran di laman Instagram Nur Heliza Helmi berkaitan ‘Dr Nur’ dikatakan ditahan pihak Israel ketika memasuki sempadan kem bagi memberi rawatan perubatan kepada rakyat Palestin yang tular baru-baru ini.

Related Articles

Leave a Reply