Home Semasa Vaksin Sinovac: KJ dakwa Pulau Pinang kena scam, Ketua Menteri tuntut syarikat beri penjelasan

Vaksin Sinovac: KJ dakwa Pulau Pinang kena scam, Ketua Menteri tuntut syarikat beri penjelasan

by Nurulhuda

GEORGETOWN, 20 Mei – Kerajaan negeri Pulau Pinang menuntut supaya syarikat swasta yang menawarkan sumbangan 2 juta dos vaksin COVID-19 Sinovac kepada kerajaan Negeri untuk tampil menafikan dakwaan telah melakukan penipuan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menjelaskan, syarikat tersebut perlu memberi penjelasan serta menunjukkan bukti-bukti berkaitan demi membersihkan nama serta imej mereka.

Beliau berkata demikian susulan dakwaan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa syarikat tersebut merupakan satu syarikat yang ‘bogus’ dan tawaran mereka adalah satu ‘scam’.

Menurutnya, dakwaan serius itu mewajibkan bahawa syarikat tersebut dan pengarah untuk tampil bagi menolak dakwaan berkaitan.

“Memandangkan Khairy Jamaluddin telah membuat dakwaan serius, kerajaan Negeri dengan ini memohon supaya syarikat terbabit untuk memberi penjelasan serta menunjukkan bukti-bukti yang berkaitan demi membersihkan nama serta imej mereka,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Kon Yeow menjelaskan, kerajaan Pulau Pinang telah mengambil tindakan berhemah apabila menerima tawaran vaksin berkaitan melalui surat bertarikh 1 Februari 2021 dan telah memohon pandangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

“Pada 12 Mac 2021, Mohd Shafiq Abdullah selaku Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi jawapan kepada kerajaan Pulau Pinang bahawa adalah tidak perlu menimbangkan sumbangan vaksin tersebut kerana kerajaan Persekutuan telah merangka dan melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan,

“Pandangan Mohd Shafiq Abdullah langsung tidak menyentuh tentang isu status syarikat tersebut,

“Kerajaan Pulau Pinang dengan ini tidak berupaya menyusuli perkara ini kerana tidak dapat mengemukakan surat perakuan KKM kepada syarikat berkenaan untuk membolehkan mereka meneruskan rundingan dengan pihak pengeluar vaksin,” katanya lagi.

Tambahnya, kerajaan Pulau Pinang telah melakukan tanggungjawab dengan sebaiknya dalam isu ini kerana tawaran vaksin tersebut bakal dapat diberikan kepada rakyat negeri Pulau Pinang demi menjaga keselamatan mereka terhadap virus COVID-19.

Semalam, Khairy Jamaluddin menjelaskan, tawaran 2 juta dos vaksin Sinovac yang dikatakan ditawarkan oleh sebuah syarikat swasta yang berpangkalan di Hong Kong kepada kerajaan Pulau Pinang adalah palsu.

Khairy menegaskan, pihaknya telah membuat siasatan dan tidak menemui sebarang keterangan yang membuktikan kewujudan penyumbang atau syarikat berkenaan.

Beliau berkata demikian setelah Chow Kon Yeow mempertikai tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak memberi peluang kepada negeri itu untuk mendapatkan vaksin COVID-19 sendiri seperti dibenarkan kepada Selangor dan Sarawak pada Selasa. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply