Home Semasa 2 lokaliti di Pahang, satu Sabah dikenakan PKPD mulai Isnin ini

2 lokaliti di Pahang, satu Sabah dikenakan PKPD mulai Isnin ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di Kampung Paya Teh, Jerantut dan Seri Kemunting, Kuantan, Pahang bermula 17 Mei sehingga 30 Mei 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD juga akan dilaksanakan di Kampung Sungai Langgas, Kunak, Sabah dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata, ketiga-tiga lokaliti tersebut dikenakan PKPD berikutan berlaku peningkatan kes dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dalam tempoh seminggu.

“Di Kampung Paya Teh, Jerantut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan sebanyak 54 ujian saringan ke atas penduduk di lokaliti tersebut dan 35 daripadanya disahkan positif COVID-19,

“Manakala di Seri Kemunting, Kuantan pula, sebanyak 62 ujian saringan telah dilakukan dan 16 daripadanya disahkan positif COVID-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, KKM turut mengesan 17 kes positif hasil daripada ujian saringan yang dilakukan ke atas 34 individu di Kampung Sungai Langgas, Kunak, Sabah.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD dketiga-tiga lokaliti tersebut berkuat kuasa pada 17 Mei sehingga 30 Mei depan.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply