Home Pertahanan dan Keselamatan Perintah berkurung di ESSZONE dilanjutkan, kekang pencerobohan pengganas

Perintah berkurung di ESSZONE dilanjutkan, kekang pencerobohan pengganas

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 15 Mei – Perintah berkurung di kawasan perairan 7 daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir hari ini, dilanjutkan 14 hari sehingga 30 Mei ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, berkata perintah berkurung itu meliputi perairan Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Menurutnya, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara 6 petang hingga 6 pagi.

Beliau berkata, perintah itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan, sekali gus menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE.

“Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Hazani berkata, perintah itu juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” tambahnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply