Home Semasa Kuarantin wajib penumpang misi HADR, repatriasi dari India dilanjut 21 hari

Kuarantin wajib penumpang misi HADR, repatriasi dari India dilanjut 21 hari

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melanjutkan tempoh kuarantin wajib bagi pengembara yang tiba dari India bagi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) dan penerbangan repatriasi daripada 2 minggu kepada 21 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat susulan 7 dari 132 penumpang penerbangan repatriasi pada 13 Mei dikesan positif COVID-19 dengan kadar pesakit yang positif wabak tersebut sebanyak 5.3 peratus.

“Mengambil kira keputusan di atas dan penilaian risiko yang dijalankan maka KKM memutuskan untuk melanjutkan tempoh kuarantin wajib bagi penumpang terlibat,

“Mereka dikehendaki menjalani kuarantin wajib ini di stesen kuarantin yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Mereka juga perlu menjalani ujian makmal RT-PCR bagi pengesanan COVID-19 mengikut SOP yang ditetapkan,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau menjelaskan, berdasarkan situasi itu juga, KKM akan membuat penilaian risiko dengan segera untuk melihat keperluan memanjangkan tempoh kuarantin daripada 14 hari kepada 21 hari bagi semua penumpang lain yang akan tiba dari India.

Tambahnya, sekatan sedia ada bagi penumpang bukan warganegara ke Malaysia dari India masih berkuat kuasa seperti biasa.

Dr Noor Hisham turut menasihati semua rakyat Malaysia agar memberikan kerjasama dalam usaha mengekang kemasukan varian baharu dari India iaitu B.1.617 yang dilaporkan lebih cepat menular dan menyebabkan gejala lebih serius khususnya dalam kalangan individu berumur bawah 50 tahun.

Pada 12 Mei lepas, misi repatriasi membawa pulang rakyat Malaysia dari New Delhi dan Mumbai selamat tiba di Unit Kecemasan Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 pagi.

Misi yang menggunakan pesawat sewa khas itu membawa pulang sejumlah 132 orang melibatkan 117 rakyat Malaysia, 8 orang warga Brunei, 4 orang warga Denmark, 2 orang warga India dan seorang warga Indonesia.

Turut menyertai misi ini adalah, 20 orang petugas iaitu 14 anak kapal, 4 orang anggota KKM dan masing-masing seorang anggota dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Wisma Putra telah menyertai penerbangan ini. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply