KUALA LUMPUR, 12 Nov – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang memantau situasi semua hospital di seluruh negara berikutan kadar kebohjangkitan COVID-19 (R-naught) meningkat kepada 1.0.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di akaun Twitter rasminya semalam turut menggesa individu yang telah diberi temu janji dos penggalak COVID-19, agar mengambil dos berkenaan.
“Warga emas, jika boleh, perlu mengelakkan tempat yang sesak . Amalkan #TRIIS (lakukan uji, lapor, asingkan, maklumkan, dapatkan rawatan segera),” ciap beliau.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di akaun Twitter miliknya menyifatkan peningkatan semula kadar kebolehjangkitan bermakna kes harian semakin mendatar.
“Kebimbangan kita (KKM) adalah jika ia (kes harian) kembali meningkat,” katanya.
Beliau berkata, pecahan mengikut negeri mendapati Putrajaya mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi 1.0 iaitu 1.16.
“5 lagi negeri dengan catatan RT melebihi 1.0 ialah Kuala Lumpur (1.04), Selangor (1.03), Kelantan (1.02), Negeri Sembilan (1.01) dan Pahang (1.01),
“Negeri-negeri lain melaporkan RT di bawah 1.0 iaitu Sabah (0.98), Kedah (0.98), Johor (0.93), Melaka (0.94), Perlis (0.94), Pulau Pinang (0.91), Terengganu (0.90), Perak (0.88), Sarawak (0.87) dan Labuan (25 kes),” ujarnya.
Dr Noor Hisham turut menggesa orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kumpulan rentan dinasihatkan supaya mendapatkan segera dos penggalak apabila janji temu diberi.-airtimes.my