Home Semasa Polis siasat Yusuf Azmi, pengikut didakwa pukul warga asing

Polis siasat Yusuf Azmi, pengikut didakwa pukul warga asing

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat video tular insiden seorang lelaki warga asing dipukul sekumpulan lelaki di kawasan kaki lima Kedai Taman Alam Jaya Batu 9 Cheras, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner, Mohd Zaid Hassan berkata, video tular berdurasi 1 minit 21 saat itu memaparkan mangsa dipukul oleh sekumpulan lelaki yang dikenali dengan nama Yusuf Azmi, Abang Ali dan beberapa orang pengikutnya yang belum dikenalpasti.

“Kejadian yang tular ini jelas merupakan satu kejadian kekerasan jenayah yang boleh disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,

“Ia juga merupakan kejadian yang mengganggu gugat serta mendatangkan kekacauan kepada ketenteraman awam berikutan kejadian ini berlaku melibatkan kawasan awam yang terbuka,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menjelaskan, hasil penelitian terhadap video tersebut juga mendapati, kumpulan lelaki Melayu yang tular ini telah melanggar beberapa prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkumpul serta tidak menjaga penjarakan sosial.

“Sehubungan itu, pihak kami telah membuat laporan polis berhubung kejadian ini bagi tujuan siasatan lanjut,

“Kes telah diklasifikasikan di bawah seksyen 147 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, bolehlah dihukum penjara selama 2 tahun ataupun dikenakan denda ataupun kedua-duanya sekali,

“Bagi kesalahan melanggar SOP PKPB, kes juga disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan/ 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” tambahnya.

Mohd Zaid menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini boleh berhubung dengan Balai Polis berhampiran.

Terdahulu, tular video menunjukkan sekumpulan 5 hingga 6 lelaki mengepung dan menyoal seorang lelaki dipercayai warga asing di hadapan sebuah premis kedai.

Menerusi video tersebut, seorang suspek memukul lelaki warga asing berkenaan diikuti beberapa rakan suspek melakukan tindakan sama.

Beberapa hantaran di Facebook mendakwa kejadian itu didalangi kumpulan suspek terdiri daripada pengerusi dan pengikut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang marah kepada lelaki berkenaan kerana didakwa menjual baju cetak rompak NGO terbabit. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply