Home Semasa Proklamasi Darurat: Orang Melayu menderita, derhaka kepada Raja – Tun Mahathir

Proklamasi Darurat: Orang Melayu menderita, derhaka kepada Raja – Tun Mahathir

by Air Times News Network

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=LfC-zwiyRss[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 20 Apr – Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat hari ini menyerahkan surat permohonan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembahkan memorandum tamat darurat yang telah diisytiharkan awal Mac lalu.

Penyerahan surat itu merupakan kali kedua selepas permohonannya pada 26 Mac lalu masih belum mendapat maklum balas pihak istana.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan orang Melayu mula meluahkan rasa marah kepada istana gara-gara pelaksanaan darurat di negara ini.

Menurutnya, orang Melayu kini sudah meluahkan rasa marah di media sosial kerana menderita akibat pelaksanaan darurat, yang diwartakan YDPA.

Katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin telah menyampaikan maklumat yang tidak cukup kepada Seri Paduka Baginda sehingga membawa kepada pengisytiharan itu.

“Segalanya diletak di bahu Agong (seolah-olah) apa jua tindakan dikatakan atas arahan YDPA,

“Orang Melayu biasa tidak derhaka pada raja. Tapi sekarang ini terpaksa sampaikan pada Setiausaha Sulit kepada YDPA bahawa orang Melayu mula rasa marah pada raja-raja,

“Kemarahan itu kita dapat ikuti dalam media sosial. Ini sangat tidak biasa untuk orang Melayu menentang pemerintah kami,

“Agak ramai orang Melayu marah sekarang, kerana mereka menderita akibat darurat ini,” ujarnya ketika sidang media selepas Jawatankuasa Tamat Darurat menyerahkan memorandum Tamat Darurat kepada YDPA, di hadapan pintu pagar Istana Negara, hari ini.

Terdahulu , Dr Mahathir bersama Pengerusi Jawatankuasa Tamat Darurat yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu masuk ke istana pada jam 3.20 petang bagi memperkenankan YDPA menamatkan darurat dan keluar semula pada jam 3.45 petang.

Sementara itu, Khalid Abdul Samad berkata, pengistiharan darurat yang dinasihatkan oleh kerajaan PN dan BN telah membawa kesan buruk terhadap ekonomi serta kestabilan politik.

“Lebih sebulan pengisytiharan darurat dilaksanakan, banyak kesan buruk semakin hari semakin jelas dan nyata,

“Kami yakin YDPA akan perkenan untuk menerima kunjungan dari Jawatankuasa Tamat Darurat ini. Apa yang kami rasakan dan perlu dilakukan adalah demi kepentingan negara dan institusi Raja-Raja Melayu,

“Kami tuntut supaya darurat ditamatkan dan Parlimen dibenarkan bersidang seperti biasa,

“Kerajaan PN dan Barisan Nasional (BN) dilihat mempergunakan darurat sebagai langkah sumbang untuk menyembunyikan tingkah laku yang membelakangkan keharmonian serta tatasusila perlembagaan negara kita,

“Kami dengan ini merafak sembah dan merayu kepada YDPA untuk bertindak segera menamatkan kesengsaraan rakyat dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku,” ujarnya.

Khalid Samad berkata, sekiranya pihak istana masih tidak memberikan jawapan untuk kami datang mengadap, jawatan kuasa ini akan datang semula sekali lagi serta membawa bukti dan kesan pelaksanaan darurat terhadap rakyat.

Turut hadir, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; Presiden Pejuang (Penaja) Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan wakil Parti MUDA.

Pada Januari 2021, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan. –airtimes.my

Galeri gambar:

 

Related Articles

Leave a Reply