Home Semasa Sandakan dikenakan PKP mulai Sabtu ini

Sandakan dikenakan PKP mulai Sabtu ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Apr – Kerajaan memutuskan untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Sandakan, Sabah berkuat kuasa 17 hingga 30 April ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKP dilaksanakan ekoran peningkatan kes harian positif COVID-19 yang tinggi di daerah tersebut.

“Sehingga hari ini, sebanyak 46 kes baharu telah direkodkan dan secara kumulatifnya sebanyak 6,806 kes dilaporkan di daerah Sandakan,

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 78 kes juga direkodkan dalam tempoh 14 hari dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi di lokaliti ini,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan PKP, hari ini.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri mengesahkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Mukim Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan berkuat kuasa esok sehingga 29 April 2021.

Selain itu, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) serta kuarters kakitangan, Kuching turut dikenakan PKPD pada tarikh yang sama ekoran berlakunya penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelatih dan penghuni PULAPOL dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“KKM telah melakukan 113 ujian saringan di SMU Arab dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak 50 kes positif direkodkan,

“Sebanyak 633 ujian saringan telah dilakukan di PULAPOL Kuching dan Kuarters Kakitangan, Kuching dan daripada jumlah itu, 123 kes positif COVID-19 telah dilaporkan,” tambahnya.

Beliau berkata, PKP dan PKPD ini antara lain adalah untuk memastikan kadar infeksi terkawal dan tidak menular dengan pantas ke kawasan lain dalam daerah mahupun ke penghuni lain dalam pusat tahanan. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply