Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan bot Vietnam ceroboh perairan Sabah

APMM tahan bot Vietnam ceroboh perairan Sabah

by Air Times News Network

KOTA KINABALU, 15 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah menahan 5 warga Vietnam bersama sebuah bot nelayan yang menceroboh perairan Pulau Mantanani di kedudukan sekitar 17.1 batu nautika, semalam.

Pengarah APMM Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, penangkapan ini merupakan strategi khas di bawah Operasi Naga (Op Naga) Timur dan Operasi Kuda Laut (Op Kuda Laut).

“Salah satu strategi yang di rangka ialah mengenal pasti kawasan-kawasan potensi atau titik panas (hotpsot),

“Bot serta 5 kru termasuk tekong berusia lingkungan 17 hingga 40 tahun, ditahan dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, iaitu berada di dalam perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran Pengarah Perikanan,

“Mereka juga ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan sebarang bukti pengenalan diri yang sah semasa diperiksa,” katanya dalam hantaran di laman sosial milik APMM.

Menurutnya lagi, jika didapati bersalah, tekong boleh dikenakan denda tidak melebihi RM6 juta manakala kru boleh didenda RM600,000 setiap seorang atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Bot dan 5 kru termasuk tekong diiring ke Jeti Maritim Sepanggar untuk siasatan lanjut,

“Perairan Sabah dan Labuah akan terus diancam dengan aktiviti pencerobohan oleh nelayan Vietnam,

“Pada tahun 2019 APMM telah merekodkan sebanyak 12 tangkapan bot nelayan Vietnam, manakala 3 tangkapan serta 2 pengusiran bagi tahun 2020 dan 3 lagi tangkapan direkodkan tahun ini di perairan Labuan, Kudat dan Kota Kinabalu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Rosli berkata, operasi kemasukan nelayan asing terutama dari Vietnam akan terus dijalankan demi menjaga perairan dan persempadanan negara.

“APMM akan terus kekal komited dalam menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan perairan Sabah aman dan selamat,” tambahnya. -airitmes.my

Related Articles

Leave a Reply