[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=nCO2RcX2NB0[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 27 Feb – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini mempunyai kuasa untuk menahan, menangkap dan menyoal siasat individu awam termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai melakukan jenayah rentas sempadan.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, Proklamasi Darurat yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dapat memberikan pertambahan kuasa dan perlindungan kepada anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bertugas dalam Operasi Benteng (Op Benteng) bagi membanteras kemasukan PATI di sempadan negara.
“Sebelum diberi kuasa, anggota tentera tetap melaksanakan tugas seperti biasa. Tetapi masalahnya apabila anggota tentera tidak mempunyai kuasa untuk menangkap, menahan dan menyoal siasat tidak kira siapa pun, sama ada awam atau PATI yang melakukan kesalahan,
“Apabila kita (anggota tentera) dapat, kita serah terus kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM),
“Tetapi dengan sedikit kuasa dalam melaksanakan tugas, individu yang melakukan jenayah rentas samada PATI atau penyeludup, kita ada kuasa untuk menangkap, menahan dan menyoal mereka. Dan fokusnya kini adalah di sempadan negara,” katanya dalam sesi Wawancara Khas sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-88, di Wisma Perwira Darat, Kem Perdana, Sungai Besi, semalam.
Dalam masa yang sama, beliau turut menjelaskan, anggota tentera yang melaksanakan tugasan di sempadan negara kini lebih dilindungi di bawah perundangan negara.
“Kita tidak tahu apa akan jadi di daratan. Kalau mereka menangkap seseorang individu, mungkin meraka melakukan provokasi, jadi anggota terdedah dengan situasi sebegini,
“Tetapi apabila dengan pemberian sedikit kuasa, anggota tentera ada sedikit perlindungan di bawah Akta 88 sekiranya ada provokasi,
“Undang-undang kuasa yang diberikan ini lebih untuk melindungi anggota TDM dalam melaksanakan tugas harian mereka,” ujarnya.
Pengisytiharan darurat yang berkuatkuasa pada 12 Januari lalu sehingga 1 Ogos depan adalah sebagai langkah proaktif kerajaan dalam membendung penularan wabak COVID-19 di dalam negara. -airtimes.my