KUALA LUMPUR, 16 Feb – Malaysia merekodkan 5,718 kes sembuh akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan angka tertinggi sejak negara dilanda wabak berkenaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes sembuh tersebut menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang telah pulih dari wabak berkenaan meningkat kepada 224,053 kes.
Beliau berkata, bagi jangkitan baharu pula sebanyak 2,720 kes dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif di negara ini sebanyak 269,165 kes.
Manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 44,129 kes.
“Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi, iaitu sebanyak 1,300 kes. Daripada jumlah ini 1,067 adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan,
“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 451 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 318 kes,
“Sebanyak 57 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara, lokap, dan depoh tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Bendera (35 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (14 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (4 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes), dan Kluster Tembok Taiping (1 kes),” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, seramai 253 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 118 kes daripadanya memerlukan pernafasan.
Dr Noor Hisham turut mengesahkan 8 kes kematian dicatatkan hari ini melibatkan 3 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 2 kes di Selangor, serta masing-masing satu kes di Sabah, Sarawak, dan Negeri Sembilan.
“Sebanyak 7 kes kematian melibatkan warganegara dan 1 kes bukan warganegara,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan 19 kluster baharu telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan 14 kluster berkaitan tempat kerja, 4 kluster komuniti dan satu melibatkan kumpulan beriko tinggi. –airtimes.my