Home Semasa Darurat: Tentera boleh diperuntukkan kuasa penguatkuasaan tangkap PATI – Muhyiddin

Darurat: Tentera boleh diperuntukkan kuasa penguatkuasaan tangkap PATI – Muhyiddin

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menjelaskan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan mana-mana ordinan mengikut keperluan semasa bagi tindakan serta-merta semasa darurat.

“Sepanjang tempoh darurat ini, jika Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta,

“Maka Seri Paduka Baginda boleh memasyhurkan apa-apa ordinan yang perlu mengikut hal keadaan
semasa,” kata Perdana Menteri semasa Perutusan Khas Darurat.

Menurut beliau, beberapa Ordinan boleh dimasyhurkan bagi tujuan membendung wabak COVID-19, serta mempertingkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam.

Penguatkuasaan dan ketenteraman awam

“Suatu ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk memperuntukkan kuasa penguatkuasaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengikut kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Polis
Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Kanun Tatacara Jenayah atau mana-mana undang-undang penguatkuasaan lain yang berkaitan,

“ATM juga akan diperuntukkan kuasa untuk membantu melaksanakan fungsi berhubung dengan kesihatan awam dan peranan yang dijalankan oleh pegawai awam yang berkaitan semasa pandemik ini,” katanya.

Beliau menambah, kawalan sempadan negara akan diperketatkan dengan memberi kuasa kepada anggota tentera selain polis dan imigresen untuk menangkap pendatang serta sesiapa sahaja yang menceroboh sempadan negara.

Membendung COVID-19

Selain daripada itu, Muhyiddin turut menjelaskan kerajaan boleh mendapatkan penglibatan daripada pihak perubatan swasta bagi meringankan beban sektor kesihatan awam.

“Ordinan Darurat boleh dimasyhurkan bagi tujuan membendung wabak COVID-19,

“Ini merangkumi hal-hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, pengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan untuk penggunaan sumber hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit COVID-19,

“Menerusi ordinan ini, bantuan yang boleh diperolehi daripada pihak swasta meliputi sumber manusia, kepakaran, fasiliti, aset, makmal ujian dan utiliti,” ujarnya.

Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan ordinan ini akan digunakan bagi memudahkan urusan perkhidmatan kesihatan awam dengan lebih pantas, cekap serta berkesan.

Pada masa yang sama, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 boleh dipinda bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang dalam mencegah penularan COVID-19.

“Ini termasuk meningkatkan penalti atau hukuman ke atas sesiapa yang melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan pengawalan wabak COVID-19,” katanya.

Ekonomi

Perdana menteri turut menegaskan ordinan-ordinan yang bertujuan untuk menjaga kesejahteraan ekonomi boleh dimasyhurkan semasa darurat.

“Ordinan-ordinan yang bertujuan untuk memerangi sabotaj ekonomi, monopoli dan kenaikan harga barang secara keterlaluan dalam masa pandemik juga boleh dimasyhurkan,

“Penguatkuasaan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat boleh dikenakan untuk tujuan ini,” ujar Muhyiddin.

Pada masa yang sama, beliau memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba mengganggu usaha kerajaan menangani COVID-19 serta mengurus ekonomi akan diambil tindakan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang cuba mengganggu demi kesejahteraan rakyat serta keselamatan negara,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan pengisytiharan Darurat berikutan keadaan semasa wabak COVID-19 dalam negara.

Darurat dijangka akan tamat pada 1 Ogos atau lebih awal sekiranya pandemik COVID-19 terkawal. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply