Home Semasa Penduduk Taman Kerayong tubuh bilik gerakan kurangkan kerugian hadapi banjir

Penduduk Taman Kerayong tubuh bilik gerakan kurangkan kerugian hadapi banjir

by Air Times News Network

BERA, 11 Jan – Pengalaman penduduk Taman Kerayong Indah berdepan bencana banjir tahun 2007 dan 2014 dijadikan iktibar apabila penduduk setempat bermuafakat menubuhkan bilik gerakan banjir.

Pengerusi Kawalan Rukun Tetangga Taman Kerayong Indah, Yusri Isa, 53, berkata, bilik gerakan itu sebagai persiapan awal memindahkan penduduk dan barangan penting ke lokasi selamat.

“Pihaknya menubuhkan satu jawatankuasa khas banjir dan seterusnya mengaktifkan bilik gerakan sehari sebelum berlakunya banjir di daerah Bera,

“Kami sediakan juga pengangkutan seperti lori bagi memindahkan barangan dan penduduk yang terjejas ke lokasi selamat dengan inisiatif pertubuhan sendiri,” katanya kepada Air Times.

Menurutnya, bilik gerakan yang ditubuhkan pihaknya turut menerima bantuan dari pelbagai NGO mahupun pihak persendirian yang menghulurkan bantuan berupa makanan termasuklah dari Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bera dan Pejabat Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bera.

Biar pun menghadapi musibah, penduduk Taman Kerayong Indah turut sama-sama bergotong-royong menyediakan makanan kepada penduduk setempat dan di sekitar Bera yang terjejas banjir.

“Saya yang mewakili penduduk Taman Kerayong Indah ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kanan Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bera, Khaizul Nizam Mohamad Zuldin, yang telah menghulurkan bantuan serta pihak NGO yang prihatin keatas penduduk kawasan itu,” ujarnya.

Terdahulu kira-kira seramai 1,600 penduduk Taman Kerayong Indah yang terjejas banjir sejak 5 Jan telah dipindahkan ke empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Kerayong, SMK Bandar Kerayong, Sekolah Kebangsaan Kerayong Jaya dan SJKC Kerayong. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply