Home Semasa Agong zahir keprihatinan terhadap mangsa banjir

Agong zahir keprihatinan terhadap mangsa banjir

by Nurulhuda

KUALA LIPIS, 7 Jan – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan seluruh rakyat untuk mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan sehingga mengorbankan nyawa dan harta benda.

Istana Negara dalam hantaran di media sosialnya berkata, Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan meninjau situasi semasa bencana banjir di sekitar negeri Pahang, hari ini.

Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda yang menaiki pesawat EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan jam 9 pagi tadi dengan diiringi Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Seri Paduka Baginda telah mendarat di Kuala Lipis, Pahang untuk menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di 2 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan Clifford dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa,

“Selepas lawatan ke Kuala Lipis, Seri Paduka Baginda dijadualkan mendarat di Mentakab dan Temerloh untuk menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab dan PPS Dewan Majlis Perbandaran Temerloh,

“Dalam lawatan ini, Seri Paduka Baginda turut berkenan beramah mesra dan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir bagi meringankan beban yang ditanggung,” katanya.

Daerah Maran yang teruk terjejas akibat banjir, menjadi lokasi pertama Al-Sultan Abdullah mencemar duli melawat mangsa banjir dengan diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebelum berangkat ke Kuantan.

Sementara itu, di PPS Dewan Orang Ramai Seri Damai, Kuantan, Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyediakan masakan kepada mangsa banjir di negeri tersebut.

Keberangkatan mengejut Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ini mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda terhadap mangsa banjir dan golongan yang memerlukan bantuan.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply