Home Semasa Tiada lagi karikatur komunis dalam restoran di JB – Ayob Khan

Tiada lagi karikatur komunis dalam restoran di JB – Ayob Khan

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 4 Jan – Polis Johor mengesahkan tiada lagi gambar dan karikatur berunsur parti komunis di sebuah restoran di Johor Bahru.

Restoran di Taman Mount Austin itu tular selepas didakwa mempunyai gambar serta karikatur berunsur parti komunis.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Diraja Johor Bahru Selatan telah membuat pemeriksaan ke atas restoran berkenaan, semalam.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati restoran tersebut telah berubah dan tidak lagi memaparkan imej seperti mana yang diviralkan dalam media sosial,

“Restoran yang dikenali sebagai Big Captain Stimboat,  kini masih lagi dalam proses pengubahsuaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, beberapa keping gambar telah tular dalam media sosial menunjukkan sebuah restoran di Taman Mount Austin memaparkan imej berunsur parti komunis.

Menurut Ayob, pemilik restoran berkenaan merupakan seorang lelaki tempatan berbangsa cina berusia 41 tahun manakala isterinya merupakan seorang warganegara China.

“Sebelum ini premis tersebut telah dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di atas kesalahan mempamerkan papan iklan perniagaan yang tidak mematuhi syarat,

“Sehubungan itu, polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 505B Kanun Keseksaan, Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” tambahnya.

Ayob turut mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam perbuatan seperti mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme yang boleh membangkitkan sokongan terhadap perjuangan parti komunis.

“Segala perbuatan akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukkan undang-undang yang sedia ada,”ujarnya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply