JOHOR BAHRU, 29 Nov – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada 4 individu.
Menerusi hantaran di laman sosial rasmi Sultan Johor, Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Amir Nasruddin, Ketua Polis Negeri Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Mantan Duta Besar Malaysia ke Bahrain, Agus Salim Yusof dikurniakan darjah DMIJ.
Turut dikurniakan darjah DMIJ ialah Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil yang membawa gelaran Datin Paduka.
Menurut hantaran itu, majlis pengurniaan darjah bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada hari ini.
Berangkat sama, pada majlis tersebut ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
Sultan Johor turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) kepada 4 individu.
Penerima SIJ ialah Pegawai Daerah Tangkak, Mohammed Shakib Ali; Pengarah Jabatan Kerja Raya Johor, Abu Bakar Abd Aziz; Pengarah Perangkaan Johor, Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri, dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Maimunah Othman. – airtimes.my
