Home Semasa 11 korban COVID-19 direkodkan hari ini

11 korban COVID-19 direkodkan hari ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Malaysia mencatatkan 11 kes kematian berkaitan COVID-19 hari ini membabitkan beberapa negeri termasuk Selangor, Sabah dan Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 376 kes.

Beliau berkata, daripada jumlah kematian itu, 5 kes dilaporkan di Hospital Sungai Buloh, Selangor, 2 kes masing-masing di Hospital Duchess of Kent di Sandakan, Sabah dan Hospital Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

“Satu kes kematian pula masing-masing di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu,

“Semua kes kematian ini membabitkan warga tempatan iaitu 7 perempuan dan 4 lelaki berusia antara 50 hingga 81 tahun,”katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan jangkitan COVID-19, hari ini.

Pada masa sama, kes positif COVID-19 kekal 4 angka dengan 1,075 kes direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dr Noor Hisham berkata, ini menjadikan jumlah kes positif di Malaysia kepada 69,095 kes dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan adalah 10,802 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, hanya 3 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan selebihnya adalah kes jangkitan tempatan,

“Negeri di Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian 508 dengan Selangor merekodkan 459 kes,

“Sabah pula merekodkan 310 kes dan diikuti dengan Johor sebanyak 78 kes,” tambahnya.

Tambah Noor Hisham, sebanyak 48 kes dilaporkan melibatkan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (41 kes), Kluster Tembok (3 kes), Kluster Matambai (3 kes) dan Kluster Bakti (1 kes).

Menurutnya, KKM merekodkan 948 kes sembuh pada hari ini dan ia sekali gus mencatatkan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah sebanyak 57,917 kes.

“Sehingga kini, terdapat 116 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 46 kes memerlukan bantuan pernafasan,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply