Home Pertahanan dan Keselamatan Drone ATM kesan 13 PATI Indonesia cuba menyusup masuk Malaysia

Drone ATM kesan 13 PATI Indonesia cuba menyusup masuk Malaysia

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba menyusup masuk ke Malaysia berjaya dipatahkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Op Benteng di kawasan persisiran pantai dari Tanjung Penyusop hingga ke Kampung Simon, Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor awal pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam satu kenyataan berkata, tangkapan dilakukan hasil maklumat perisikan dan operasi pengintipan telah mengesan aktiviti PATI tersebut.

“Pasukan telah mengatur gerak Tim Quick Reaction Force (QRF) bersama Tim Drone dari Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) bersama Pegawai Perhubungan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mengepung kawasan berkenaan,

“Pada jam 1.40 pagi, hasil serbuan yang dilakukan telah berjaya menahan 13 PATI warga negara Indonesia yang sedang bersembunyi di Kuari Baru, Pantai Kampung Tanjung Che Lahom,

“Kesemua PATI terdiri daripada 9 lelaki dan 4 perempuan yang berusia sekitar 21 hingga 47 tahun itu dipercayai baru masuk ke negara melalui jalan yang tidak sah,” katanya.

Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM34,619.99 melibatkan wang tunai matawang Ringgit Malaysia RM2,728.70, matawang Indonesia  IDR8,286,700.00 (RM2,392.65) serta beberapa matawang lain bersama 15 buah telefon bimbit, jam tangan dan barang kemas.

“Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia,

“Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai dan pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF bagi menjejak kemungkinan ada lagi saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply