Home Semasa Polis, tentera dan petugas barisan hadapan lain terima bantuan ‘one-off’ RM300

Polis, tentera dan petugas barisan hadapan lain terima bantuan ‘one-off’ RM300

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Kerajaan bersetuju memperluaskan pemberian bantuan secara ‘one-off’ sebanyak RM300 kepada semua petugas barisan hadapan termasuk polis dan tentera.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak dan mendengar cadangan ramai ahli Parlimen yang berbahas mengenai keperluan mempertimbangkan bantuan khas untuk barisan hadapan yang lain.

“Walaupun penularan wabak COVID-19 semakin membimbangkan, petugas barisan hadapan kita tetap kental memberikan perkhidmatan dengan penuh jitu demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,

“Melalui ucapan Belanjawan 2021, kerajaan telah mengumumkan bantuan khas one-off kepada petugas barisan hadapan kesihatan sebanyak RM500 ringgit,

“Sepanjang perbahasan, saya telah mendengar cadangan daripada Ahli-Ahli Parlimen mengenai perlunya mempertimbangkan bantuan khas untuk barisan hadapan yang lain yang turut bertugas dengan penuh dedikasi dan komitmen,

“Justeru itu, ingin saya umumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memanjangkan bantuan khas secara one-off kepada semua petugas barisan hadapan lain sebanyak RM300 ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul turut menjelaskan, kerajaan bersetuju untuk meluaskan kategori penerima pemberian one-off yang sebelum ini diberikan kepada pesara Polis yang menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada pesara dan bekas polis.

“Penerima pemberian one-off kepada pesara dan bekas polis itu adalah dianggarkan seramai 40 ribu orang lagi,

“Ini menjadikan jumlah penerima pemberian one-off ini seramai 80 ribu orang dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM40 juta,” ujarnya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply