Home Semasa PKPB di Mukim 12 Daerah Barat Daya Pulau Pinang bermula Jumaat ini

PKPB di Mukim 12 Daerah Barat Daya Pulau Pinang bermula Jumaat ini

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Mukim 12, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang bermula Jumaat ini hingga 19 November depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPB dilaksanakan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan berlaku peningkatan kes COVID-19 di mukim tersebut.

Sehingga semalam, sebanyak 35 kes positif COVID-19 termasuk 11 kes baharu telah direkodkan di mukim ini,

Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di kawasan tersebut.

“Prosedur operasi standard (SOP) PKPB ini adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan untuk maklumat lanjut rujuk laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam sidang media mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-232 dan hari ke-148 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau turut memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di PPR Taman Harmoni, Sandakan yang bermula pada 23 Okt hingga 5 November 2020 akan ditamatkan seperti mana yang telah dijadualkan.

“Sehingga 26 Oktober 2020, melalui ujian saringan yang dilaksanakan, KKM mengesahkan tiada kes positif COVID-19 baharu direkodkan di kawasan tersebut,

“Walau bagaimanapun, PPR Taman Harmoni ini masih tertakluk di bawah SOP PKPB bagi seluruh negeri Sabah,” ujarnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply