Home Semasa Pintu sempadan negara masih ditutup kepada warga asing – Ismail Sabri

Pintu sempadan negara masih ditutup kepada warga asing – Ismail Sabri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Kerajaan masih menguatkuasakan polisi yang tidak membenarkan kemasukan warga asing terutamanya kepada 23 negara yang dihalang memasuki negara ini bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polisi untuk menutup sempadan negara itu masih kekal dan sekaligus tidak membenarkan kemasukan pekerja warga asing untuk memasuki negara serta bekerja semula di Malaysia kecuali mendapat kebenaran dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan media mengenai 25,000 pekerja Bangladesh dari Malaysia yang terkandas di negara asal sejak penularan COVID-19. Mereka telah mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kementerian Luar di Dhaka bertujuan menuntut bantuan kerajaan supaya membenarkan mereka kembali bekerja di Malaysia.

“Bangladesh adalah 23 negara yang diperketatkan kemasukan mereka kerana negara itu tergolong di dalam negara yang berisiko tinggi wabak pandemik COVID-19,

“Jadi, walaupun ramai yang ingin balik ke Malaysia, tetapi sehingga hari ini, kebenaran masih tidak dibenarkan. Walau bagaimana pun, kuasa menentukan kemasukan adalah di bawah JIM dan saya yakin JIM belum lagi menukar polisi ini ataupun mencadangkan kepada kerajaan untuk menukar polisi bagi melonggarkan kemasukan ini,

“Setakat hari ini, pekerja-pekerja dari Bangladesh atau mana-mana dari 23 negeri yang berisiko tinggi itu masih lagi tidak membenarkan kemasukan mereka,” katanya dalam sidang media harian mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Beliau menegaskan sekali lagi, bahawa pintu sempadan negara masih ditutup kepada warga asing.

Pada September lalu, kerajaan telah mengumumkan untuk menyekat kemasukan rakyat dari 23 negara yang mencatatkan kes positif COVID-19 melebihi 150,000 ke Malaysia.

Negara-negara terbabit ialah Amerika Syarikat, Brazil, India, Rusia, Peru, Colombia, Afrika Selatan, Mexico, Sepanyol, Argentina dan Chile.

Turut disenaraikan ialah Iran, United Kingdom, Bangladesh, Arab Saudi, Pakistan, Perancis, Turki, Itali, Jerman, Iraq, Filipina dan termasuklah Indonesia. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply