Home Politik Tiada keperluan isytihar darurat: Jemaah Menteri bincang lebih lanjut titah Agong

Tiada keperluan isytihar darurat: Jemaah Menteri bincang lebih lanjut titah Agong

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Jemaah Menteri akan berbincang dengan lebih lanjut titah Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia.

Muhyiddin dalam satu kenyataan malam tadi berkata, keutamaan Jemaah Menteri dan kerajaan pada masa ini ialah melindungi rakyat daripada wabak COVID-19.

“Jemaah Menteri mengambil maklum kenyataan Istana Negara mengenai pendapat KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia,

“Saya menjunjung kasih atas kepercayaan Seri Paduka Baginda kepada kerajaan pimpinan saya dan menyambut baik nasihat supaya kestabilan kerajaan tidak diganggu-gugat,” kata kenyataan itu.

Petang semalam, Yang di-Pertuan Agong telah mengadakan Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Muhyiddin.

Seri Paduka Baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah bertitah perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply