KUALA LUMPUR, 26 Okt – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri susulan cadangannya untuk melaksanakan perintah darurat tidak diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, semalam.
Mohd Puad dalam hantaran di media sosialnya berkata, pertemuan beberapa ahli politik Perikatan Nasional (PN) di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur malam tadi berlangsung dengan penuh emosi.
“Muhyiddin mesti kecewa, panas, tidak boleh tidur malam. Pertemuan di rumah beliau malam tadi memang emosi,
“PPBM sedang tuduh menuduh. Semua menuding jari ke arah Azmin dan Hamzah. Benarkah “ill advise” kepada Muhyiddin itu adalah mereka,” kata hantaran itu.
Menurut Mohd Puad, terdapat 2 kesan besar apabila Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan daripada Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat.
“Pertama, Agong menyedari “langkah Muhyiddin” itu hanyalah muslihat politik bukan untuk memerangi COVID-19,
“Di para 3 kenyataan media Istana Negara, dinyatakan….”Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan”,
“Kalau YDP Agong yakin, kenapa PM tidak yakin. Apakah PM cuba membohongi YDP Agong? Alhamdulillah, YDP Agong dan Majlis Raja Raja amat teliti dan bijaksana,” kata Mohd Puad.
Tambahanya, kesan kedua, ramai pakar perundangan mengatakan Seri Paduka Baginda harus mendengar nasihat Perdana Menteri seperti termaktub dalam Artikel 40 Perlembagaan Persekutuan.
“Tapi nampaknya nasihat Memanda Menteri tidak diterima. Maka di mana kredibiliti seorang Perdana Menteri,
“Syukur, YDP Agong tidak dipengaruhi oleh game politik yang boleh mengheret negara ke kancah lebih parah. Kesejahteraan rakyat lebih utama. Sewajarnya TS Muhyiddin berundur,” ujarnya. – airtimes.my