Home Semasa COVID-19: 298 sekolah di daerah Petaling ditutup mulai hari ini

COVID-19: 298 sekolah di daerah Petaling ditutup mulai hari ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Kesemua 298 buah sekolah di daerah Petaling, Selangor ditutup mulai hari ini sehingga 25 Oktober 2020.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan berkata, ia berikutan peningkatan kes COVID-19 di daerah berkenaan yang telah disahkan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, penutupan itu merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

“Sekolah yang mempunyai asrama termasuk kolej vokasional juga ditutup,

“Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama untuk pulang,

“Bagaimanapun, murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan kolej vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama,

“Keperluan makan dan minum murid juga disediakan oleh pihak sekolah,” jelas kenyataan itu.

KPM menjelaskan, pengetua dan guru besar akan memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran serta pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian sepanjang tempoh penutupan sekolah ini.

“Bagi kebanyakan sekolah yang sedang melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan terbabit penutupan boleh menjadualkan semula peperiksaan ke suatu tarikh bersesuaian kelak,

 

“KPM sentiasa memantau situasi selain bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM,” katanya.

Jelasnya, sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa.

Semalam, KKM melaporkan Malaysia telah merekodkan 561 kes baharu COVID-19, yang merupakan kedua tertinggi sepanjang wabak berkenaan melanda negara.

Jumlah kes baru hari ini terdiri daripada 553 kes penularan tempatan dengan Sabah menyumbang 488 kes, Selangor 25 kes, Kedah 16 kes, Kuala Lumpur 8 kes dan Labuan 5 kes. Manakala, Johor, Melaka dan Terengganu masing-masing 3 kes serta Pulau Pinang serta Perak masing-masing mencatatkan satu kes. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply