Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan bot nelayan Vietnam, hasil rampasan bernilai RM1.6 juta

APMM tahan bot nelayan Vietnam, hasil rampasan bernilai RM1.6 juta

by Nurulhuda

TERENGGANU, 12 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kemaman menahan 15 nelayan Vietnam termasuk tekong dan merampas sebuah bot, hasil tangkapan serta diesel yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta.

Pengarah APMM Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid dalam kenyataan berkata, bot tersebut ditahan dalam Op Khas Kuda Laut pada jam 12.05 tengahari pada Sabtu lalu di sekitar 150 batu nautika dari Kuala Kemaman.

“Bot nelayan asing dengan nombor pendaftaran KG 95056 TS dikesan melalui penglihatan dan radar sekitar jam 11.45 pagi, 10 Oktober lalu,

“Sewaktu kapal ronda Maritim Malaysia menghampiri, bot nelayan tersebut telah bertindak merentangkan tali pukat dan cuba melarikan diri dengan belayar menuju ke arah sempadan perairan Malaysia,

“Bot berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan terdapat 15 nelayan Vietnam termasuk tekong berumur antara 24 hingga 55 tahun di atas bot terbabit,”kata kenyataan itu.

 

Kesemua nelayan termasuk tekong menjalani ujian saringan COVID-19 di Jeti Zon Maritim Kemaman. Foto: APMM

Menurutnya, 13 tan ikan campur, diesel yang dianggaran 1,000 liter dan peralatan memukat turut dirampas. Kesemua nilai rampasan dianggaran bernilai RM1.6 juta.

“Bot dan hasil rampasan bersama nelayan Vietnam telah dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman pada 12 Oktober bagi menjalani ujian saringan COVID 19 sebelum diserah bagi siasatan lanjut,

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan dan juga Akta Imigresen 1953/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” tambahnya.

Rashidilhadi berkata, APMM komited meneruskan operasi membanteras kegiatan pencerobohan di perairan negara bagi melindungi hasil laut dari dirompak oleh nelayan asing. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?