Home Semasa APMM rampas 16 bubu naga di perairan Kuala Perlis

APMM rampas 16 bubu naga di perairan Kuala Perlis

by Air Times News Network

KUALA PERLIS, 9 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Perlis merampas sebanyak 16 bubu naga bernilai RM2,000 di perairan Kuala Perlis semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai RM120 seunit dipasang pada dua lokasi berbeza iaitu sekitar jarak 0.2 batu nautika daripada barat pantai Sungai Baru dan 0.6 batu nautika daripada barat pantai Kurung Tengar.

Katanya, bot peronda yang sedang melakukan Operasi Benteng Laut di perairan negeri Perlis telah mengesan bubu ini melalui pancang-pancang kayu yang mencurigakan di permukaan air sekitar perairan berkenaan.

“Tinjauan secara dekat mendapati pancang kayu tersebut merupakan penanda lokasi di mana bubu naga telah dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab,

“Penggunaan bubu naga boleh mengakibatkan anak-anak ikan dan udang mudah untuk masuk ke perangkap jaring terbabit dan menjejaskan habitat marin serta mengakibatkan hasil laut semakin berkurangan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, APMM memandang serius walaupun telah banyak rampasan bubu naga telah dilakukan sebelum ini.

“Namun aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan termasuk penangkapan ikan dengan menggunakan kaedah rawa sorong, penangkapan ikan di luar kawasan yang dibenarkan dan pencerobohan bot nelayan asing,

“Kesemua bubu naga yang dirampas bernilai hampir RM2,000 dengan anggaran RM120 seunit. Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan,

“Kesemua bubu naga tersebut dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Mohd Shafie berkata, penggunaan bubu naga telah diharamkan penggunaannya oleh Jabatan Perikanan Malaysia mulai 1 November 2018.

“APMM akan terus membuat rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa untuk mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia,

“Orang ramai juga diminta memberikan kerjasama untuk segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini,

“Sebarang laporan boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162,” katanya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply