Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Dr Aliakbar ADUN PAS pertama di Sabah

Dr Aliakbar ADUN PAS pertama di Sabah

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah, Dr Aliakbar Gulasan merupakan antara yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di Sabah hari ini.

Beliau dilantik bersama-sama dengan 5 yang lain iaitu bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Yong Teck Lee, Suhaimi Nasir dan Raimie Unggi dari UMNO serta Jaffari Walliam dan Amisah Yassin dari PPBM.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan berkata, pelantikan julung kali ini akan membuka lembaran baharu kepada PAS Sabah bagi menjalin hubungan yang lebih erat dengan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik di Sabah.

“Sesungguhnya keberadaan PAS di Sabah sejak lebih 35 tahun adalah bukti kesungguhan PAS dalam usaha memperkukuh perpaduan, menyemarak pendidikan dan membela kebajikan rakyat, merentasi kaum dan fahaman agama,” katanya.

Abdul Hadi turut mengucapkan sekalung penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan untuk melantik Aliakbar.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Muhtar Suhaili pula dalam hantaran facebooknya turut mengucapkan tahniah kepada Aliakbar atas pelantikan tersebut.

“Mari kenali ADUN Sulung PAS Sabah ini. YB Dr. Aliakbar, 49 tahun berasal dari Tenom, Sabah dan kini diamanahkan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah. Beliau juga pernah diamanahkan sebagai AJK Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat pada sesi 2015-2017,

“Beliau berkelulusan Sarjana Muda Sastera & Sains Sosial (Kepujian) (B.A Hons) dari Universiti Malaya (UM) dan Sarjana Pengurusan Alam Sekitar serta PhD Geografi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),

“Di sudut kerjaya, beliau merupakan mantan Pensyarah Kanan di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS). Dr. Aliakbar juga diamanahkan sebagai Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) dan sebelumnya turut bersama saya sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Malaysian Palm Oil Certification Council (MPOCC),

Muhtar berkata, beliau sudah mengenali Aliakbar sebagai seorang yang tenang dan sangat tersusun dalam bekerja.

Aliakbar banyak berperanan dalam menggerakkan PAS Sabah selain bersama-sama PAS Sarawak merencana agenda siyasah (politik), dakwah dan tarbiyah di Bumi Borneo. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply