Home Semasa COVID-19: 260 kes harian, lebih tinggi dari PKP

COVID-19: 260 kes harian, lebih tinggi dari PKP

by M.Daim

PUTRAJAYA, 1 Okt – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini menyuarakan kebimbangan beliau berikutan peningkatan secara mendadak kes jangkitan baharu COVID-19.

Hari ini, Malaysia telah mencatatkan sebanyak 260 kes jangkitan baharu dengan hanya 1 daripadanya adalah kes import.

Menurut Noor Hisham, angka yang dicatatkan adalah kedua tertinggi selepas 4 Jun lalu iaitu 277 kes.

“Bilangan kes ketiga tertinggi pula adalah semasa Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 1 pada 26 Mac dengan 235 kes,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan sebanyak 31 kes baharu melibatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

“Sehingga hari ini, jumlah kes yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah adalah 119 kes,” katanya.

Kes berkaitan individu yang pernah ke Sabah telah dikesan di Kedah, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Terengganu, Perlis, Melaka, Pahang dan Pulau Pinang.

Sabah masih mencatatkan angka kes tertinggi iaitu 118 kes.

Terdahulu, Noor Hisham turut menyatakan kewujudan 4 kluster baharu iaitu Kluster Meru di Selangor, Kluster Selasih di Putrajaya, Kluster Bah Ketil di Kedah dan Kluster Joo Hwa di Sabah.

Beliau menambah, seramai 20 pesakit sedang dirawat dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 3 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Jumlah kes jangkitan terkini adalah 11,484 kes manakala jumlah kematian masih kekal 136 kes.

Sementara itu, bilangan kes pulih telah melebihi 5 angka iaitu 10,014 kes apabila 47 pesakit disahkan sembuh pada hari ini. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply