Home Semasa COVID-19: 6 kes baharu, 1 kematian dicatatkan hari ini

COVID-19: 6 kes baharu, 1 kematian dicatatkan hari ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan 1 kes kematian berkaitan COVID-19 telah dilaporkan hari ini

“Kes kematian ke-127 (kes ke-9,124) itu merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis serta darah tinggi,

“Beliau telah dilaporkan pada 13 Ogos 2020 dalam Kluster Tawar. Pesakit mula mengalami gejala batuk sejak 11 Ogos lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 13 Ogos 2020 setelah didapati positif COVID-19,

“Keadaan kesihatan beliau merosot dan memerlukan bantuan pernafasan sejak 19 Ogos 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 30 Ogos 2020 jam 10.35 malam tadi,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi perkembangan COVID-19, hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham telah mengesahkan 6 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan hari ini, melibatkan 4 kes import dan 2 kes penularan di dalam negara.

“4 kes import tersebut telah mendapat jangkitan di Singapura iaitu 2 warganegara Malaysia dan 2 bukan warganegara,

“Kesemua 4 kes import ini telah dilaporkan di negeri Selangor,” ujarnya.

Manakala, kes penularan tempatan pula, melibatkan warganegara Malaysia dari negeri Kedah, masing-masing 1 kes daripada Kluster Tawar dan Kluster Telaga.

Sementara itu, sebanyak 6 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 4 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply