Home Semasa 253 ditahan langgar PKP, termasuk berhibur 116 di kelab malam

253 ditahan langgar PKP, termasuk berhibur 116 di kelab malam

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Seramai 253 individu ditahan semalam kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk mereka yang terlibat aktiviti dalam kelab malam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 219 individu telah dikompaun, manakala 32 pula direman dan 2 dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (116), gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (23), tidak memakai pelitup muka (26), premis beroperasi lebih masa (2), ceroboh pusat kuarantin (2),

“Manakala 70 individu terlibat dengan aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial, gagal lunaskan bayaran pusat kuarantin (1), serta terlibat dalam aktiviti perjudian (13),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, polis turut membuat 64,929 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

Mengenai kawalan sempadan negara, beliau memaklumkan, sebanyak 63 sekatan jalan raya (SJR) Op Benteng telah dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara.

“Pihak polis turut memeriksa 27,197 kenderaan bagi mengekang PATI terutamanya di lorong tikus dan tiada sebarang tangkapan dilakukan semalam,” tambahnya.

Operasi Benteng (Op Benteng) yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply