Home Semasa COVID-19: 6 lagi kes baharu libatkan kluster Tawar

COVID-19: 6 lagi kes baharu libatkan kluster Tawar

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan 6 lagi kes terbaru dilaporkan bagi kluster Tawar pada hari ini.

Beliau berkata, kluster tersebut melibatkan 5 kes di Kedah dan 1 kes di Pulau Pinang yang menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 bagi kluster ini sebanyak 39 kes.

“Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 899 orang telah disaring dalam kluster ini,

“Seramai 35 kes dikesan positif di Kedah, 4 kes di Pulau Pinang dan tiada kes dikesan positif COVID-19 di Perak,” jelas Dr Noor Hisham dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Beliau menegaskan, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kluster ini dan situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Dr Noor Hisham mengesahkan 25 kes baru COVID-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi yang menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,200 kes.

“Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,

“Daripada 25 kes tersebut, 16 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan 11 warganegara Malaysia dan 5 bukan warganegara,

“Terdapat 9 kes penularan di dalam negara, yang melibatkan 7 warganegara Malaysia dan 2 bukan warganegara,” tambahnya.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply