Home Pertahanan dan Keselamatan Perintah berkurung ESSZONE diteruskan, elak pencerobohan pengganas

Perintah berkurung ESSZONE diteruskan, elak pencerobohan pengganas

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 17 Ogos – Ancaman penjenayah dari kumpulan pengganas khususnya dari kumpulan militan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh kawasan perairan untuk melakukan jenayah rentas sempadan terutama di Pantai Timur Sabah.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, perintah berkurung di kawasan perairan 7 daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) itu akan dilanjutkan sehingga 2 September depan.

“Perintah ini dilanjutkan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing di pulau-pulau peranginan,

“Perintah berkurung yang berakhir esok ini juga dilanjutkan bagi memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet selain nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan terlibat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menggesa masyarakat di kawasan setempat agar sentiada berada di dalam rumah dan tidak memasuki kawasan perairan terbabit pada tempoh masa yang telah ditetapkan.

“Kuasa turut diberikan terhadap Ketua Polis Daerah di kawasan perintah berkurung bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perairan berkenaan,” jelasnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply