Home Semasa COVID-19: 9 kes penularan tempatan berpunca dari kluster baharu di Kedah

COVID-19: 9 kes penularan tempatan berpunca dari kluster baharu di Kedah

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengesahkan terdapat pertambahan kluster baharu wabak COVID-19 di negeri Kedah.

Menurut beliau, 9 daripada 11 kes penularan tempatan COVID-19 hari ini adalah berpunca dari baharu di Mukim Tawar, Kedah.

“Pesakit indeks merupakan seorang peniaga yang menghadiri upacara keagamaan pada akhir bulan lalu,

“Upacara ini dianggarkan telah dihadiri seramai 30 orang. Beliau telah mengalami gejala dan disaring pada 9 Ogos sebelum disahkan pada 11 Ogos,” jelas Noor Hisham dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, aktiviti pengesanan aktif telah dijalankan terhadap 86 kontak rapat pesakit indeks dan mendapati 9 daripadanya positif COVID-19.

“Kesemua pesakit yang baharu dikesan adalah ahli keluarga beliau. Mereka turut menghadiri upacara sembahyang kematian tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, dua kes penularan tempatan telah dikesan di Kuala Lumpur melibatkan seorang rakyat tempatan dan seorang warga asing.

Selain itu, sebanyak 4 kes import telah dikesan pada hari ini.

Hari ini, Malaysia telah mencatatkan 15 kes jangkitan baharu dengan menjadikan jumlah kes COVID-19 di negara ini meningkat kepada 9,129 kes.

Pada masa yang sama, seramai 4 orang pesakit disahkan pulih dan menjadikan kes sembuh meningkat kepada 8,821 kes.

Bilangan kes kematian masih kekal pada 125 orang. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply