Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat ATM tahan 16 PATI Indonesia cuba lolos sempadan negara

ATM tahan 16 PATI Indonesia cuba lolos sempadan negara

by Air Times News Network

JOHOR BAHRU, 13 Julai – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menahan 16 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba menyusup keluar dan masuk ke negara ini dalam Operasi Benteng (Op Benteng) awal pagi tadi.

Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam satu kenyataan berkata, tangkapan pertama melibatkan 3 orang PATI yang cuba keluar dari Malaysia pada jam 1.00 pagi di Ladang Sungai Tengah, Bandar Penawar.

“Pasukan Rejimen ke-61 Artileri Diraja (61 RAD) diketuai Kapten Mohd Amirul Naim Mohammad Zubir telah menahan 2 lelaki dewasa dan 1 perempuan dewasa berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun dipercayai sedang menunggu bot untuk membawa mereka pulang ke Indonesia,

“Pasukan telah diaturgerak membuat rondaan keselamatan telah berjaya menahan sebuah bot pancung hasil maklumat dari anggota bertugas di menara tinjau Ladang Sungai Tengah,” katanya.

Dalam tangkapan pertama itu,keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM36 ribu yang melibatkan bot pancung berserta enjin, 7 buah telefon bimbit serta wang tunai RM1,550 dan mata wang Indondsia 21.1 JUTA (RM 6236.00).

Manakala tangkapan kedua pula dibuat pasukan 61 RAD diketuai Kapten Mohd Farid Izaini pada jam 2.00 pagi telah digerakkan membuat rondaan keselamatan berhampiran Ladang Brunai, Bandar Penawar.

“Pasukan bertindak hasil maklumat daripada anggota yang bertugas di menara tinjau yang telah mengesan kehadiran sebuah bot yang mencurigakan,

“Hasil tindakan pantas pasukan 61 RAD telah membawa kepada tangkapan 13 PATI terdiri daripada 6 lelaki dewasa dan 7 perempuan dewasa warga Indonesia berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun dipercayai baru tiba di negara ini,” ujarnya.

Turut dirampas dalam tangkapan kedua itu 6 buah telefon bimbit, 3 utas rantai emas, 3 bentuk cincin emas serta wang tunai RM1,170 dan mata wang Indonesia 1.7 juta (RM544) dengan nilai keseluruhan dianggar bernilai RM8 juta.

Keseluruhan nilai rampasan tangkapan pertama dan kedua adalah berjumlah RM43,874 ribu dan mata wang Indonesia 22.8 juta.

“Kesemua PATI ditangkap diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian COVID-19,

“Usaha menjejaki diteruskan dengan bantuan Tim Dron dari Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP),” kata kenyataan itu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply