Home Politik Parti bukan hak pengasas, Pak Wan umum sokong Muhyiddin

Parti bukan hak pengasas, Pak Wan umum sokong Muhyiddin

by Air Times News Network

KAJANG, 5 Jun – Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas).

Menurut Mohd Redzuan, spekulasi peletakan jawatannya adalah tidak benar sama sekali.

“Saya berpendapat ada kumpulan tertentu yang berkepentingan mahu mengugat kestabilan politik negara,

“Sekali lagi saya ulangi, saya tidak meletak jawatan dan tidak akan meletak jawatan,” kata beliau pada sidang media khas bertempat di perkarangan rumahnya di Parkfiled Residences, Kajang hari ini.

Pak Wan juga mengulangi akan terus berkerjasama dengan barisan kabinet yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk memantapkan pentadbiran dan pengurusan negara terutama dalam keadaan ekonomi yang mencabar akibat pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, beliau menegaskan dan memberi keyakinan kepada semua ahli BERSATU bahawa parti itu tidak akan lari dari landas-landas perjuangan asal mengikut perlembagaan, dasar dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Justeru, akar umbi sama ada yang lama, awal dan baharu, saya menyeru marilah bersatu di bawah satu saf dan kepimpinan untuk kesinambungan dan kelestarian “Perjuangan Kita” iaitu Bersatu, Beramanah, Bermaruah,

“Parti bukan hak saya, bukan hak individu, bukan hak pengasas, bukan hak pemimpin-pemimpin tetapi tetapi ia adalah hak anda sebagai ahli,” tegasnya.

Mohd Redzuan menasihatkan semua ahli politik untuk sama-sama menghayati Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong iaitu “jangan mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat pandemik COVID-19”. -airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply