Home Politik Konflik BERSATU: Yang memecat pula di pecat

Konflik BERSATU: Yang memecat pula di pecat

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Setiausaha Kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya pula dipecat berkuatkuasa serta-merta semalam selepas mengeluarkan surat menggugurkan 5 pemimpin parti termasuk Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya memaklumkan pemecatan tersebut diatas pelanggaran etika kerja dan perlembagaan BERSATU Pindaan 2019 dengan membuat keputusan berhubung pentadbiran parti.

“Muhammad Suhaimi juga telah mengeluarkan surat pemecatan keahlian tanpa pengetahuan dan tidak merujuk kepada saya (Marzuki) terlebih dahulu selaku Ketua Pentadbir Ibu Pejabat Parti dan Setiausaha Agung Parti yang sah,” kata Marzuki dalam satu surat yang dikeluarkan semalam.

Menurut Marzuki lagi, perkara ini adalah selaras dengan Perlembagaan BERSATU Pindaan 2019, melalui mana-mana kaedah Pemberhentian dan Pemecatan Ahli di bawah Fasal 10 serta Fasal 16.6.

“Fasal 8 Pendaftaran Keahlian iaitu dibawah 8.11 perlembagaan menetapkan kesemua perihal pengurusan keahlian dan daftar ahli adalah di bawah bidang kuasa Setiausaha Agung,

“Manakala, Fasal 16.6 Tugas-tugas Setiausaha Agung iaitu dibawah 16.6.3 dan 16.6.5 setiausaha agung mengelola pentadbiran ibu pejabat parti serta kesemua perihal pengurusan keahlian dan daftar ahli,” katanya.

Semalam, Muhammad Suhaimi menerusi surat yang dikeluarkan kepada Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah, Maszlee Malek dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai pengguguran keahlian mereka daripada BERSATU.

Berdasarkan surat yang dikeluarkan, keahlian kelima-lima mereka digugurkan atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Pada satu surat dikeluarkan pada 18 Mac lalu yang ditandatangani Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan Marzuki sebagai Setiausaha Agung turut dipecat serta merta.

“Pemecatan itu selaras dengan Fasal 13.9 Perlembagaan BERSATU,” katanya.

Manakala pada 26 Mac lalu, Muhyiddin telah melantik Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Setiausaha Agung yang baharu menggantikan Marzuki. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply