Home Semasa COVID-19: Jalan Pasar Pudu tidak dikenakan PKPD, hanya kawalan secara pentadbiran

COVID-19: Jalan Pasar Pudu tidak dikenakan PKPD, hanya kawalan secara pentadbiran

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR: Kawasan sekitar Jalan Pasar Pudu, Kuala Lumpur tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tetapi hanya kawalan secara pentadbiran.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan penduduk kawasan berkenaan masih dibenarkan keluar membeli barangan keperluan.

“Kita (kerajaan) hanya membuat kawalan secara pentadbiran. Bukan PKPD atau ‘total lockdown’ yang tidak membenarkan penduduk keluar masuk atau sebagainya. Mungkin kita letak kawalan tapi penduduk masih dibenarkan membeli makanan,

“Tujuan pemasangan kawat duri di kawasan tersebut, adalah untuk membenarkan pihak kesihatan melakukan saringan kesihatan COVID-19 ke atas penduduk di kawasan tersebut,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.

Pihak kementerian kesihatan melakukan saringan kesihatan COVID-19 ke atas penduduk di kawasan Pudu. Foto: AirTimes

Tinjauan AirTimes ke Jalan pasar Pudu mendapati penduduk yang tinggal di sekitar Jalan Brunei, Jalan Pasar dan Jalan Landak berbaris untuk menjalani saringan kesihatan COVID-19.

Pemeriksaan saringan COVID-19 dilakukan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap berpakaian Peralatan Perlindungan Diri (PPE).

Petugas Kementerian Kesihatan melakukan pemeriksaan COVID-19 ke atas penduduk di Jalan Pasar Pudu. Foto: AirTimes

Selain itu, anggota tentera  dan polis turut dilihat mengawasi serta membuat rondaan di seluruh kawasan berkenaan.

Difahamkan Jalan Pasar Pudu di pasang pagar kawat duri oleh anggota ATM sejak malam tadi  dan kawalan pergerakan keluar masuk penduduk diperketatkan seperti Jalan Raja Bot, Chow Kit dan dua kawasan di Selayang yang sebelum ini diisytiharkan sebagai memperketatkan kawalan secara pentadbiran sahaja.

Anggota tentera dan polis turut dilihat mengawasi serta membuat rondaan di seluruh kawasan berkenaan

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim menegaskan bahawa pihak berkuasa hanya memperkasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan itu dan bukan PKPD.

 

Related Articles

Leave a Reply