KUALA LUMPUR, 15 Mei – Kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Hari Raya Aidilfitri 2020 sebanyak RM300 seorang kepada peneroka FELDA, peserta FELCRA dalam kategori B40 dan pekebun kecil RISDA bermula 18 Mei ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, bantuan khas ini melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM148 juta kepada hampir 500 ribu peneroka, peserta dan pekebun kecil yang bernaung di bawah FELDA, RISDA dan FELCRA di seluruh negara.
“Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 113 ribu peneroka FELDA, 90 ribu pengusaha FELCRA dalam kategori B40 dan 292 ribu pekebun kecil RISDA, iaitu pekebun yang mengusahakan tanah dengan keluasan tidak melebihi 2.5 hektar,” katanya.
Oleh demikian, kerajaan telah mengambil maklum kedudukan harga pasaran global komoditi seperti kelapa sawit dan getah, yang kian merosot disebabkan penularan wabak COVID-19.
“Situasi ini secara langsung telah menjejaskan pendapatan peserta dan pekebun kecil yang bernaung di bawah FELDA, RISDA dan FELCRA,” jelasnya.
“Kerajaan berharap bantuan khas ini akan dapat meringankan beban warga agensi terbabit, terutamanya dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba,” kata kenyataan itu. – airtimes.my