Home Semasa Bilangan kes jangkitan COVID-19 di Malaysia lebihi paras 3,000

Bilangan kes jangkitan COVID-19 di Malaysia lebihi paras 3,000

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Apr – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 217 kes baru telah dilaporkan dan ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,333 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 217 kes tersebut, 58 adalah berkaitan dengan jemaah perhimpunan di Sri Petaling.

“Selain pada itu, 44 kes telah dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM yang merupakan salah satu hospital COVID-19. 41 adalah kes berkaitan dengan pelajar madrasah tahfiz di Selangor,

“Seramai 108 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dari jumlah tersebut, 54 kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujarnya.

Beliau juga menjelaskan 60 kes telah pulih dan dibenarkan keluar pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 adalah sebanyak 827 kes.

Menurut Dr Noor Hisham, tiga kematian berkaitan jangkitan COVID-19 telah dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 5 petang, hari ini.

“Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat wabak berkenaan dalam negara ketika ini sebanyak 53 kes,” jelas Dr Noor Hisham.

Dalam masa yang sama, Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa sehingga 2 April 2020, terdapat 138 anggota KKM yang telah dikesan positif COVID-19.

“Berdasarkan siasatan, setakat ini tiada kes berpunca daripada pengendalian dan rawatan kes yang disahkan positif daripada wad COVID-19 ataupun unit rawatan rapi di fasiliti KKM,

“Daripada jumlah tersebut punca-punca jangkitan adalah 58 kes iaitu 42 peratus berkaitan dengan majlis perkahwinan yang dihadiri oleh individu yang mempunyai dan juga menghadiri perhimpunan di Sri Petaling,” tambah Dr Noor Hisham.

Berikut adalah laporan terperinci 3 kematian kumulatif COVID-19 di Malaysia hari ini:

1) Kes kematian ke-51 (kes ke-2,561). 

  • Merupakan seorang wanita warga Malaysia berusia 84 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 12 Mac dan kemudian ke Institut Jantung Negara dan disahkan meninggal dunia pada 2 April, 1.07 tengah hari.

2) Kes kematian ke-52 (kes ke-2122).

  • Lelaki warga Malaysia berusia 52 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan pada 18 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 3 April, 7.55 pagi.

3) Kes kematian ke-53 (kes ke-2034).

  • Wanita warga Malaysia berusia 73 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak pada 24 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 3 April, 9.30 pagi.

 

Related Articles

Leave a Reply