Home Semasa Kerajaan tutup laluan keluar masuk 7 kampung di Hulu Langat

Kerajaan tutup laluan keluar masuk 7 kampung di Hulu Langat

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 29 Mac – Kerajaan hari ini menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langgat, Selangor mulai tengah malam ini.

Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira jumlah kes positif COVID-19 yang tinggi, membabitkan pelajar Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui, Hulu Langat.

Ismail berkata perintah yang berkuatkuasa mulai tengah malam ini, 30 Mac hingga 13 April itu melibatkan 3,918 orang penduduk merangkumi 700 rumah. Ini termasuk 7 kampung iaitu 2 perkampungan Orang Asli dan 5 perkampungan Melayu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

“Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat 71 kes positif COVID-19 daripada 274 penghuni maahad tahfiz itu,

“Mengambil kira jumlah kes yang tinggi di sekolah tersebut, kerajaan atas nasihat KKM telah memutuskan untuk melaksanakan PKPD, arahan kedua selepas Simpang Renggam, di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail, dengan pelaksanaan perintah itu, semua penduduk dan pelawat yang berada di kawasan tersebut tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

“Selain penduduk dan pelawat yang tidak dibenarkan keluar rumah, aktiviti perniagaan juga dihentikan,

“Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pangkalan Perubatan akan dibuka di kawasan tersebut,

“Selain itu, semua laluan keluar masuk kawasan PKPD juga ditutup,” tambah Ismail.

Bagi memastikan pematuhan perintah tersebut, Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan terbabit.

“Semua penduduk diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” tegasnya lagi.

 

Related Articles

Leave a Reply