KUALA LUMPUR, 28 Mac – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai supaya tidak membeli dan menggunakan produk cecair pembasmi kuman ‘Hand Sanitizer Bidara Ruqyah Al-Amin Al-Baghdadi’ yang tiada kelulusan KKM.
KKM menerusi catatan Facebook rasminya memaklumkan bahawa semua produk hand sanitizer perlu dirujuk dengan KKM sebelum dipasarkan di Malaysia untuk memastikan ianya berkualiti dan selamat digunakan.
“Penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi adalah merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952,
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” kata kenyataan itu.
Tambah KKM lagi, iklan produk dengan tuntutan perubatan tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat merupakan satu perlanggaran di bawah Seksyen 4B, Akta Ubat (Iklan & Penjualan 1956).
“Hukuman jika sabit kesalahan adalah denda sehingga RM 3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali,
“Oleh itu, jadilah pengguna yang bijak dan berhati-hati semasa membeli produk hand sanitizer di pasaran,” jelasnya.
Untuk sebarang semakan status produk boleh dibuat di laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di pautan www.npra.gov.my.