Home Semasa COVID-19: Nasib Malaysia bergantung kepada petugas kesihatan sebagai benteng terakhir negara

COVID-19: Nasib Malaysia bergantung kepada petugas kesihatan sebagai benteng terakhir negara

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Kesemua warga kesihatan yang bertugas di barisan hadapan dalam memerangi wabak COVID-19 agar terus bertabah dan sentiasa menjaga keselamatan diri, ujar Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya berkata para petugas kesihatan semua dipertanggungjawabkan untuk melawan COVID-19 yang tidak kelihatan.

“Malah lebih penting lagi kita (petugas kesihatan) adalah benteng pertahanan terakhir dan Malaysia kini bergantung kepada kita,

“Sama ada berjaya atau tidak, terpulang kepada kita sekarang untuk memimpin dan melakukan yang terbaik demi Raja dan negara,” katanya.

Beliau juga menyeru kepada orang ramai supaya mematuhi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan kerajaan.

“Setiap seorang daripada kita dapat membantu dalam memenangi perang ini,

“Sila tinggal di rumah dan bantu kami memecahkan rantaian transmisi COVID-19, amalkan penjarakan sosial dan mencuci tangan dengan kerap,” jelasnya.

Menurut Dr Noor Hisham lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneruskan strategi pengesanan kes aktif, “mencari, menguji, mengasingkan dan merawat” semua pesakit yang dijangkiti.

“KKM juga akan mengambil semua langkah kesihatan awam yang diperlukan serta meningkatkan sistem penjagaan kesihatan sedia ada kami,

“Mari kita bersama-sama lakukan semua ini demi negara kita,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply