Home Politik Sidang Parlimen 2 Mac: Cabar hak, kuasa Agong – Majlis Presiden PH

Sidang Parlimen 2 Mac: Cabar hak, kuasa Agong – Majlis Presiden PH

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyifatkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Interim memanggil sidang Parlimen untuk memilih Perdana Menteri baharu mencabar hak dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

PH dalam satu kenyataan selepas mengadakan mesyuarat malam tadi, berpendirian adalah tidak wajar untuk Perdana Menteri Interim mendahului titah Yang di-Pertuan Agong dalam hal berkenaan.

“Yang di-Pertuan Agong dijadualkan bertemu dengan Raja-Raja Melayu untuk membincangkan perkara ini.

“Majlis Presiden menggesa semua pihak untuk menghormati budi bicara dan wewenang Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam hal ini,

“Majlis Presiden PH berpendirian bahawa hak dan kuasa melantik seorang Perdana Menteri terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong, seperti yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Tun Dr Mahathir mengumumkan sesi khas Dewan Rakyat akan diadakan pada Isnin (2 Mac) bagi menentukan siapa Perdana Menteri baharu.

Menurut Tun M, Yang di-Pertuan Agong tidak menemui mana-mana individu memperoleh majoriti yang jelas untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.

“Oleh kerana tiada keputusan majoriti yang jelas, Seri Paduka Baginda menitahkan keputusan perlu ditentukan di Dewan Rakyat,

“Oleh itu, sesi Parlimen pada 2 Mac diadakan bagi menentukan siapa Perdana Menteri baharu,” kata Tun Dr Mahathir semasa sidang media selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, pada Khamis.

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply