Home Politik DAP mahu Tun M kekal sebagai Perdana Menteri

DAP mahu Tun M kekal sebagai Perdana Menteri

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Parti Tindakan Demokratik (DAP) bertegas mahu mengkekalkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata DAP akan mengesyorkan Tun Dr Mahathir untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri pada mesyuarat tergempar Majlis Presiden Pakatan Harapan malam ini.

“Kedudukan berprinsip dan juga konsisten Tun (Mahathir) dalam menolak UMNO yang korup ini haruslah disokong oleh semua rakyat Malaysia.

“Beliau perlu dikekalkan agar Pakatan Harapan (PH) dapat terus memenuhi dan menyampaikan janji-janji dalam Manifesto Pilihan Raya Pakatan Harapan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas parti itu hari ini.

Menurutnya, DAP mengutuk perbuatan khianat beberapa pemimpin dan ahli parlimen PH yang telah mencuba untuk menubuhkan sebuah kerajaan melalui pintu belakang bagi menggantikan kerajaan sedia ada yang telah dipilih secara demokratik.

“Pakatan baharu yang dinamakan Perikatan Nasional yang terdiri daripada UMNO, PAS, MCA, dan MIC bersama dengan beberapa pemimpin PPBM dan mereka yang telah dipecat daripada PKR yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,

“Manipulasi politik ini telah menjejaskan usaha kerajaan untuk menangani isu ekonomi dan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat biasa dan perniagaan,” katanya.

Beliau menjelaskan dalam menentang cubaan khianat untuk menafikan mandat yang telah diberikan rakyat kepada PH ini, Tun Dr Mahathir telah mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PPBM.

“Saya telah melawat Tun pagi ini di kediaman beliau dan terkejut apabila Tun (Mahathir) menyatakan hasrat beliau untuk meletakkan jawatan,

“Tun Dr Mahathir telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak boleh bekerja dengan UMNO apabila kita telah bertungkus lumus untuk menolak UMNO dengan jayanya dalam Pilihan Raya Umum 2018,” ujar Guan Eng.

Dalam pada itu, DAP memuji pegangan berprinsip Tun Dr Mahathir untuk menolak kerjasama dengan dengan UMNO, yang mana pemimpinnya terlibat dalam amalan rasuah yang telah menyebabkan Malaysia dilabelkan sebagai “kleptokrasi global yang terburuk”.

“Perlu dinyatakan bahawa ini adalah kali pertama seorang Perdana Menteri Malaysia bersedia untuk meletakkan jawatan atas prinsip untuk menegakkan integriti dan melawan rasuah,” tegas Guan Eng.

 

Related Articles

Leave a Reply