Home Semasa Keluar kenyataan fitnah: Farhash saman Yusoff Rawther

Keluar kenyataan fitnah: Farhash saman Yusoff Rawther

by Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Setiausaha Politik kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memfailkan saman terhadap Muhammed Yusoff Rawther berhubung kata-kata fitnah yang mendakwa beliau telah dipukul dan dicederakan.

Saman itu difailkan Farhash, 38, selaku plaintif menerusi Tetuan Kumar Thangaraju & Co pada 24 Jan menamakan Muhammed Yusoff, 27, yang merupakan bekas pegawai penyelidik Anwar sebagai defendan.

Pihak media memperoleh salinan dokumen itu selepas pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rumaizah Baharom hari ini, yang dihadiri peguam T. Kumar mewakili Farhash.

Kumar memberitahu pemberita bahawa writ saman itu belum diserahkan kepada defendan dan hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes kali pertama.

Dalam penyataan tuntutan, Farhash yang juga Pengerusi PKR Perak mendakwa defendan telah mengadakan sidang media di Lembah Klang pada 4 Dis tahun lepas yang dihadiri wartawan dari syarikat media.

Plaintif mendakwa rakaman video sidang media itu telah dimasukkan ke dalam akaun Facebook yang dinamakan sebagai ‘Solidariti Buat Muhammed Yusoff Rawter’ dan video tersebut telah diedarkan secara meluas melalui media sosial.

Farhash mendakwa kata-kata yang memudaratkan itu telah diterbitkan dengan niat jahat oleh defendan untuk menjejaskan imej dan reputasi beliau sebagai seorang ahli politik PKR dalam kalangan umum.

Katanya, satu notis tuntutan telah dikeluarkan pada 30 Dis tahun lalu bagi menuntut defendan menarik balik kesemua kata-kata itu dan mengemukakan permohonan maaf, namun pada 31 Dis tahun lepas, defendan melalui peguamnya Tetuan Haniff Khatri dalam surat jawapan menafikan dakwaan tersebut.

Plaintif mendakwa sehingga kini defendan masih enggan mematuhi tuntutan plaintif melalui notis tuntutan itu dan laman Facebook video tersebut masih boleh diakses oleh umum.

Plaintif menuntut suatu perintah injunksi menghalang defendan atau ejen-ejen defendan daripada menerbitkan dan/atau menyambung penerbitan kata-kata memudaratkan atau fitnah yang sama atau serupa terhadap plaintif, ganti rugi am, teruk, teladan, kos, faedah ke atas jumlah ganti rugi dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply