Home Semasa Mangsa banjir di Johor meningkat 3,934 orang

Mangsa banjir di Johor meningkat 3,934 orang

by Bernama

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Keadaan banjir di Johor dan Pahang bertambah buruk dan mencatat peningkatan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu.

Bilangan mangsa banjir di Johor, terus meningkat kepada 3,934 orang daripada 1,079 keluarga setakat 12 tengah hari ini berbanding 3,835 orang daripada 1,054 keluarga pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri berkata kesemua mangsa ditempatkan di 54 pusat pemindahan sementara iaitu 10 pusat di Mersing, 13 di Kota Tinggi, 21 di Kluang, enam di Segamat, dua di Batu Pahat dan masing-masing sebuah di Kulai serta Muar.

Jelasnya, di Batu Pahat, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Chomel mula dibuka pada 9.30 pagi ini, menjadikan keseluruhan dua pusat pemindahan dibuka di daerah berkenaan.

Di Kluang pula, satu PPS iaitu Balai Raya Kampung Melayu Batu Empat Paloh yang ditutup pagi tadi, dibuka semula dan menempatkan lima mangsa daripada dua keluarga, berbanding lapan daripada dua keluarga pada malam tadi.

“Mersing mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,265 orang daripada 354 keluarga, diikuti Kluang 1,129 orang daripada 329 keluarga,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, di Kota Tinggi, Jalan Batu 17 dan 18 yang sebelum ini ditutup sepenuhnya, kini dibuka kepada kenderaan berat sahaja.

Di PAHANG, mangsa banjir di Rompin meningkat kepada 756 orang daripada 195 keluarga pada tengah hari ini, berbanding 681 mangsa daripada 176 keluarga pagi tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan setakat 12 tengah hari tadi, sembilan pusat pemindahan sementara beroperasi sekitar Rompin.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pianggu mencatat mangsa paling ramai iaitu 263 orang daripada 76 keluarga diikuti PPS Kampung Setajam (172 orang, 48 keluarga), SK Sarang Tiong (117 orang, 25 keluarga) dan Dewan Angkat Berat Rompin (42 mangsa, 10 keluarga).

PPS Balai Raya Kampung Sepayang menempatkan 42 mangsa daripada 10 keluarga, Dewan Telok Gading di Tanjung Gemok (30 mangsa, lapan keluarga), Surau Kampung Perpat (23 mangsa, empat keluarga), Balai Raya Bukit Lepas (33 mangsa, lapan keluarga) dan PPS Balai Raya Kampung Janglau (34 mangsa, enam keluarga). – Bernama

Related Articles

Leave a Reply